Tuesday, June 9, 2020

KEINDAHAN PANTUN DAN PANDUAN MENGARANG PANTUN.



KALI INI KITA BERCAKAP TENTANG PANTUN KHASNYA PANDUAN ATAU TIPS MENULIS PANTUN. DAN SAYA TUMPUKAN KEPADA PANTUN 4 KERAT.

Sebuah pantun yang bermutu mengemukakan sesuatu Pemikiran dan berupaya untuk menyentuh emosi. Ia merupakan jalinan yang harmonis di antara penggunaan bahasa dan  maksud yang hendak disampaikan.
Secara ringkas NILAI ESTETIKA PANTUN dapat dirumuskan sebagai berikut.
1.    Mempunyai rima akhir yang tepat dan sempurna disamping rima tengah dan rima awal.
2.    Bilangan sukukata 9-10 setiap baris.
3.    Menggunakan unsur alam sebagai pembayang.
4.    Menggunakan perkataan Melayu yang asal yang disebut  juga sebagai perkataan yang arkitaipal.
5.    Menggambarkan budaya tempatan
6.    Tidak menggunakan nama orang.
7.    Dua baris pembayang dapat membayangkan maksud.
8.    Dua baris pembayang mempunyai satu wacana yang berlainan daripada wacana dalam maksud

Ciri-ciri dari nombor 1 hingga 6 mungkin jelas kepada semua. Tetapi perlu dijelaskan sedikit tentang ciri ke 7 dan 8. Ciri yang ke 7 bererti dua baris pembayang tidak bercanggah dengan dua baris maksud. Sebagai contoh sebuah pantun yang menceritakan tentang suasana tenang  seharusnya mempunyai  pembayang yang juga membawa suasana tenang.

Ada pembayang dan maksud yang bercanggah
Pokok kelapa dipanah petir
Angin kencang pokok tumbang
Saya tidak merasa khuatir
Tuan yang pergi sudah pulang.

Maksud di dalam pantun menggambarkan hati yang tenang dan tidak lagi khuatir kerana orang yang dirindui sudah pulang ke pangkuan. Namun begitu, dua baris pembayang membawa keadaan yang berlainan dengan memberi gambaran pokok yang tumbang dan dipanah petir.

Ciri yang ke lapan, dua baris pembayang mempunyai satu wacana yang berlainan daripada wacana dalam maksud membawa erti ada kaitan antara baris pertama dan kedua untuk membentuk satu wacana dan wacana pembayang mestilah berlainan daripada wacana maksud.

Contoh
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati.

Baris pertama menyatakan ada pisang emas yang dibawa belayar. Baris kedua menyatakan yang pisang emas itu telah masak di atas peti.Ini bererti dua baris pembayang membentuk satu wacana atau kisah tentang pisang emas.Baris ketiga dan keempat adalah maksud dan ia membawa wacana atau kisah yang bebeza dari pembayang iaitu budi yang tidak dapat dibalas.

Ada baris pertama dan kedua yang tiada kaitan seperti:
pisang emas dibawa belayar
Pergi ke hutan menebang pokok


Ada pantun yang tidak menepati ciri-ciri ini dan boleh dianggap sebagai pantun yang kurang bermutu.

PANTUN BERMASALAH DAN TIDAK MENEPATI PIAWAIAN.

Di sini ditunjukkan pantun-pantun yang tidak menepati piawaian dan tidak boleh digolongkan sebagai pantun yang baik.Contoh-contoh pantun yang digunakan di sini diambil daripada pantun-pantun yang saya perolehi semasa menjadi hakim sayembara menulis pantun (sudah tentu yang tidak menang) dan pantun-pantun yang dihantar untuk dinilai bagi tujuan penerbitan. Nama penulis pantun tidak didedahkan. Seandainya anda adalah penulis pantun-pantun yang saya sebut ini,  maafkan saya dan anggaplah ini untuk tujuan pembelajaran dan kebaikan bersama.

Ini serangkap pantun yang dikemukakan dalam satu bengkel penulisan pantun.
Berdagang samprit sampai ke Jawa
    Singgah Sumatera beli cendana
Hutan konkrit menyesak jiwa
   Hutan hijau sangat berguna.

Mari kita  tumpukan kpd dua baris pembayang. Pemantun menggunakan Samprit  sejenis kuih untuk dapatkan rima tengah sepadan dengan konkrit. Tetapi samprit ialah kuih moden sedangkan telah dikatakan bahawa  pantun lebih indah jika menggunakan perkataan lama.
Justeru itu mari kita cari kuih tradisional yang lebih dekat dengan budaya Melayu. Kuih yang berima dengan konkrit ialah kuih bangkit. Bolehkah kita ganti baris pertama dengan:
“Berjaja kuih bangkit Sampai ke Jawa”.?
Ini kurang sesuai kerana baris pertama sudah menjadi dua belas sukukata sedangkan ciri pantun yang baik mengandungi sembilan sukukata pada satu baris. Seperkara lagi, berjaja kuih menggambarkan seseorang yang membawa kuih di dalam raga dan menjualnya di tempat berdekatan. Biasanya kita dengar orang berjaja kuih, nasi lemak atau hasil kebun. Jika sekiranya seseorang dapat menjual sesuatu sehingga ke Pulau Jawa, maka dia bukanlah seorang penjaja, bahkan seorang saudagar besar, pedagang atau berniaga.  
Baris pertama mempunyai lebihan sukukata dan perkataan yang tidak tepat. Perkataan berjaja bolehlah ditukar kepada berniaga lalu baris-baris pembayang menjadi
Berniaga kuih bangkit sampai ke Jawa
Singgah Sumatera beli cendana

Selain mempunyai dua belas sukukata, masalah baris pertama pembayang ialah ia tidak mempunyai kaitan dengan baris kedua. Apakah hubungan berniaga kuih bangkit dengan membeli cendana? Cendana ialah sejenis pokok yang kayunya berbau harum dan digunakan dalam produk haruman atau wangian. Di peringkat ini kita mencari kaitan antara seorang yang berniaga kuih bangkit akan singgah untuk membeli cendana yang wangi

Soalnya Apa kaitan beli cendana dengan mengusahakan perniagaan kuih bangkit?
Akhirnya saya cadangkan pembayang ditukar kepada::
berdagang songket sampai ke Jawa
singgah Sumatera beli cendana

Dengan ini barulah mendapat baris yang sempurna dari segi bilangan sukukata dan hubungan harmonis antara berniaga songket dan beli cendana. Seorang peniaga kain sesuailah kalau dia juga  membeli kayu cendana untuk dijadikan minyak wangi.Adalah tidak  sesuai kalau dia menjual songket dengan belacan misalnya.
:
PENGGUNAAN NAMA ORANG.
Kalau pergi ke kedai Pak Ali
        Pergi bersama Encik Husna
   Emas intan tidak terbeli
        Kerana saya miskin dan hina

Kesilapan pada pantun ini ialah penggunaan nama orang. Sebaik-baiknya pantun tidak menggunakan nama orang kecuali  tokoh yang dikenali masyarakat seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Tun Teja atau nama-nama am seperti datuk Panglima, Laksamana, Raja Muda dan  sebagainya. Menggunakan nama orang di dalam pembayang lebih-lebih lagi sebagai perkataan akhir,  dianggap sebagai mengambil jalan mudah untuk mendapatkan rima..
Cik Gayah menyambut tamu
   Tamu bernama encik Jumrat
Bersusah payah mencari ilmu
    Ganjaran diterima dunia akhirat.

Dalam pantun yang kedua, penulisnya mempunyai maksud yang baik tetapi Pemantun mencari jalan mudah dalam penggunaan pembayang:

1 comment:

  1. terima kasih Datuk Dr atas panduan mencipta pantun yang baik. InsyaAllah saya akan cuba mencipta pantun-pantun sedemikian.

    ReplyDelete