Monday, December 4, 2017

LAGU RAKYAT GEYLANG SI PAKU GEYLANG


Lagu-lagu rakyat menggunakan pantun sebagai senikata. Ini termasuklah lagu Burung Kenek-kenek, Geylang si Paku Geylang, Chan Maklichan, Lompat si katak lompat,  dan banyak lagi. Lagu Rakyat memeriahkan sesuatu pertemuan bila dinyanyikan beramai-ramai. Apabila pertemuan telah sampai ke penghujungnya dan peserta-peserta akan pulang ke tempat masing-masing, mereka merasa sedih . Lagu yang akan dinyanyikan pada ketika ini ialah Geylang si paku geylang..
Pantun-pantun yang digunakan berunsur kesedihan kerana akan berpisah. Peserta-peserta juga memohon maaf andainya telah melakukan kesilapan, berharap dirinya tidak dilupakan dan mengharap akan berjumpa lagi di lain kali seandainya ada umur panjang. 



GEYLANG SI PAKU GEYLANG

Geylang si paku geylang
Geylang si rama-rama
Mari pulang kita lah pulang
Kitalah pulang bersama-sama.

Kalau ada jarum yang patah
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silap dan salah
Jangan disimpan di dalam hati

Dari mana hendak ke mana
Tinggi rumput si dari padi
Hari mana bulan yang mana
Dapatlah kita berjumpa lagi

Hendak dulang diberi dulang
Dulang ada pahanya tidak
Hendak pulang marilah pulang
Pulang sahaja berhantar tidak.

Kalau ada sumur di ladang
Boleh kita menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Laju laju perahu laju
Laju sampai ke Surabaya
Biar lupa kain dan baju

Janganlah lupa kepada saya.  

5 comments: