Sunday, August 20, 2017

FLORA DAN FAUNA DALAM PANTUN

UNSUR FLORA (TUMBUH-TUMBUHAN DALAM PANTUN)
objek-objek alam seperti pohon atau tumbuh-tumbuhan juga sering digunakan di dalam pantun. Terdapat pantun-pantun yang menyebut bahagian-bahagian pokok misalnya batang, ranting, buah, dan bunga, serta jenis-jenis pokok, misalnya lalang, padi, langsat, keduduk, dijadikan simbol untuk menyampaikan makna pantun mengikut sifat dan fungsi bahagian-bahagian atau jenis-jenis pokok yang berkaitan.
Di dalam pantun ia sering ditafsirkan sebagai wujudnya  kasih sayang sesama insan dan kasih sayang Allah terhadap hamba-hambanya.

           Terbitlah fajar menjelang subuh
                 Murai berkicau terang cuaca
           Kalau tanaman sudi  tumbuh
               Masakan bumi tidak terima.
(senikata lagu Serampang Lapan)
Pantun di atas menggambarkan tanaman yang tumbuh. Percambahan dan pertumbuhan benih menjadi pokok baru adalah satu kejadian dan perubahan yang berlaku pada alam. Ia adalah penanda kepada kesuburan bumi. Di dalam pantun ini percambahan benih dijadikan petanda kepada tumbuhnya perasaan kasih sayang lalu membawa nada gembira iaitu cinta yang dinanti-nanti atau cinta yang berbalas.. Kegembiraan dibangkitkan oleh suasana yang terdapat di dalam dua baris pembayang :( terbitlah fajar menjelang subuh/murai berkicau terang cuaca). Terbitnya fajar adalah kejadian alam yang menjadi penanda bermulanya suatu hari yang baru. Matahari akan muncul dan keadaan akan menjadi cerah. Hal ini bersesuaian dengan maksud yang  tersurat dan tersirat iaitu jika orang sudi menanam kasih sayang terhadap dirinya maka dia akan menyambutnya dengan penuh rasa bahagia. Pemantun menyifatkan dirinya sebagai tersangat bahagia bila tumbuhnya kasih sayang .  
Biji benih adalah sebahagian dari alam ciptaan Allah, walaupun amat halus, mempunyai segala kelengkapan yang membolehkannya bercambah menjadi sebatang pokok. Ia mengingatkan bahawa setiap ciptaan Allah mempunyai peranan masing-masing dan tidak diciptakan dengan sia-sia. Percambahan benih memperlihatkan kejadian yang mempunyai sebab dan akibat, hikmah dan manfaat, menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Teori Pengkaedahan Melayu. Perlambangan bumi yang ditumbuhi biji benih terdapat di dalam Al-Quran sebagai hati yang lembut dan disirami oleh cahaya pertunjuk manakala hati yang tidak ditumbuhi kasih sayang seperti bumi yang kering kontang.
Penggunaan simbol benih dan tumbuh-tumbuhan adalah penciptaan karya yang selaras dengan Al-Quran kerana terdapat ayat-ayat Al-Quran yang menyebut tumbuh-tumbuhan sebagai amthal atau misal perbandingan. Hal ini mempengaruhi  pemikiran kreatif pencipta-pencipta pantun Melayu Al-Quran menyebut bahawa antara bukti kekuasaan dan kasih sayang Allah ialah pemindahan benih yang membolehkan proses percambahan pokok: Hal ini terdapat di dalam ayat yang bermaksud, “Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih. Yakni angin itu membawa awan yang mengandungi air hujan, angin juga membawa debu bunga jantan kepada bunga betina, dari sebatang pokok ke pokok yang lain, dari hasil pertemuan itu lahirlah buah-buahan” (Surah al-Hijr, ayat 22).
Percambahan pokok juga adalah bukti rahmat Allah seperti diterangkan oleh ayat yang bermaksud: “Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang tandus Kami hidupkan dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian. Lalu mereka makan daripadanya.” (Surah Yaasiin, ayat 33-35)

Pemikir-pemikir Islam juga menyifatkan hati yang tidak memiliki perasaan kasih sayang seperti tanah yang tidak ditumbuhi tanaman:
Jika hati lunak, mempunyai rasa belas kasihan dan kasih sayang, maka keimanan akan tumbuh di dalamnya. Sebaliknya jika hati itu keras, kejam dan kasar, maka ia tak ubahnya bagaikan tanah yang tandus dan gersang, sedangkan tanah yang tandus dan gersang itu tidak akan ditumbuhi oleh tumbuh-tumbuhan” (Syeikh Abdul Qadir Al Jailani 2003: 387).
Benih yang baik menjadi penanda sesuatu yang berasal dari sumber yang baik. Sesuatu yang berasal dari sumber yang baik akan terjamin nilainya. Hal ini juga membawa maksud anak-anak yang lahir daripada keluarga yang baik-baik dan mendapat didikan yang baik akan lebih selamat walau di mana mereka berada. Hal ini menjadi maksud pantun di bawah:
Buat bangsal di Pulau Daik
     Menahan taut sambil mengilau
Kalau asal benih yang baik
     Jatuh ke laut menjadi pulau.
Sebatang pokok akan melalui perubahan. Dari kecil ia tumbuh membesar dan seterusnya menjadi tua sehingga tiba saatnya akan tumbang ke bumi. Daun-daun akan gugur bila ditiup angin. Daun-daun yang terdedah kepada tiupan angin dapat ditafsir dari sudut Pendekatan Firasat bahawa manusia juga terdedah kepada segala kemungkinan. Setiap kejadian membawa perubahan dan menjadi penanda kepada kejadian yang lebih besar iaitu kehidupan manusia berbekalkan usia yang dikurniakan oleh Allah. Sebuah pantun yang menggunakan lambang daun atau pelepah yang gugur ialah:
Orang  Jawa menanam kapas
   Orang Eropah menanam anggur
      Jangan ketawa pelepah di atas
      Melihat pelepah bawah yang gugur
                           (Zainal Abidin Bakar,1984:181)
Pelepah kelapa yang  jatuh adalah kejadian-kejadian yang berlaku di alam jasadi. Segalanya menjadi perbandingan atau perumpamaan yang memandu kita menyedari hakikat bahawa segala yang berada di alam jasadi adalah bersifat sementara, hanya Allah yang bersifat abadi. Pelepah jatuh kerana adanya ribut dan angin.  Pelepah kelapa yang mudah digugurkan itu adalah representasi manusia sebagai makhluk Allah yang lemah, manakala ribut adalah simbol kuasa Ilahi. Angin ribut yang datang dengan tiba-tiba dan tanpa amaran ini adalah kejadian alam yang memberi iktibar supaya manusia beringat bahawa mereka berada di bawah kuasa Allah SWT. Hal ini menepati huraian Hashim Awang tentang manusia atau watak-watak di dalam karya sastera yang menemui atau mengalami kebanyakan insiden secara tiba-tiba, tanpa perencanaan seperti yang lazim berlaku dalam alam realiti kehidupan. Semuanya seperti sudah ditentukan oleh Tuhan, tanpa diketahui manusia (Dewan Sastera, April 1991:34).
Terkandung peringatan agar manusia sentiasa insaf dan tidak merasa riak dengan pangkat yang tinggi dan nikmat yang dikecapinya yang disimbolkan sebagai pelepah yang berada di atas. Bila-bila masa sahaja akan berlaku kejatuhan seperti gugurnya pelepah di bawah . Kuasa yang dipegang dan nikmat yang dirasai tidaklah terjamin buat selama-lamanya. Dengan peringatan demikian, sastera menjadi sarana atau wadah mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan terhadap Allah.
DAHAN DAN RANTING. 
Selain benih pantun Melayu turut menggunakan kata dahan dan ranting. Dahan adalah lambang keteguhan manakala ranting lebih mudah patah dan gugur ke bumi. Dahan yang teguh menjadi tempat berteduh.  Justeru itu manusia mencari dahan untuk berteduh atau menjamin keselamatan diri.  Walau bagaimanapun ada kalanya adalah sukar untuk terus mendapatkan sesuatu yang dihajati, oleh itu  disarankan agar merancang dan melakukan pekerjaan dan sistematis.  Seandainya tidak berjaya mendapatkan sesuatu yang besar , cubalah mencapai yang lebih kecil dan lebih mudah. Hal ini diibaratkan jika tidak dapat menangkap dahan, cubalah menangkap ranting terlebih dahulu.
Anak rusa lari ke pekan
      Mati ditembak datuk penghulu
Tiada kuasa menangkap dahan
      Menangkap ranting cuba dahulu
(pantun senikata lagu Serampang Lapan)

Pantun ini jelas memperlihatkan hubungan sebab dan akibat. Dua baris pembayang maksud menceritakan perihal anak rusa yang lari ke pekan lalu mati ditembak oleh Datuk Penghulu. Anak rusa lari ke pekan ialah satu perlakuan yang luar biasa. Anak rusa yang secara tabii  berada di hutan telah keluar berlari ke pekan. Akibat dari perlakuan yang bertentangan itu telah berlaku tragedy iaitu anak rusa ditembak oleh Datuk Penghulu. Dua baris pembayang maksud itu adalah kejadian yang perlu diambil iktibar terutama di dalam mencapai kejayaan dalam sesuatu pekerjaan. Ia juga menasihati agar mengukur kemampuan diri. Jika ‘tidak kuasa menangkap dahan” cubalah dulu untuk menangkap ranting. Pantun ini memperlihatkan bagaimana setiap kejadian  menjadi penanda yang perlu diambil iktibar dan dijadikan pengajaran.


No comments:

Post a Comment