Sunday, August 20, 2017

PANTUN PENGANTIN BARU

Mengalu-alu/memuji pengantin

Beli gula di Pekan Baru
   Berbalut kertas merah kuning
Sila-sila pengantin baru
   Dua sejoli jalan berganding

Bunga manggar di kanan kiri
    Bunga rampai hiris hirisan
Pengantin baru raja sehari
   Tambah berseri dengan hiasan

Sudah sampai putera berempat
   Pulang berburu di hutan jauh
Sudah tercapai kata sepakat
   Sudah begitu  suratan berjodoh


Kain songket halus tenunan
     Dibawa orang masuk ke kota
Sudah bertemu dengan pasangan
   Laksana cincin dengan permata

Laksamana cergas dan tangkas
   Cukup berilmu dengan gurunya
Ibarat dakwat dengan kertas
   Sudah bertemu dengan jodohnya

Padang Temu konon namanya
    Tempat kuda berlari-lari
Sudah bertemu dengan jodohnya
     Bagai cincin lekat di jari.

Selendang mayang selendang batik
    Batik dari Surabaya
Makin dipandang bertambah cantik
    Naik seri dengan cahaya






Doa dan Pesanan untuk Pengantin


Yang jauh sudahlah dekat
    Sudah dekat bersalam mesra
Kami berdoa semoga berkat
   Menempuh hidup aman sejahtera

Mawar merah harum mewangi
   Jambangan digubah berseri-seri
Doa restu kami iringi
   Baik berpakat suami isteri

Di dalam dulang berisi sagu
   Tabur sagu dimakan merpati
Jangan bimbang jangan ragu
    Hidup baru kini menanti

Sudah bersarang burung tempua
   Sarangnya tinggi tidaklah rendah
Dahulu seorang sekarang berdua
   Ikatan janji tertunai sudah

Sudah bersarang burung tempua
   Sarangnya jauh tidaklah dekat
Dahulu seorang sekarang berdua
   Baik-baik duduk berpakat

Kain baldu kain bertekat
    Dibawa orang dari Melaka
Sudah berpadu kata sepakat
   Kalau jodoh bertemu juga


(Mengalu-alukan tetamu)

Cantiknya burung cenderawasih
   Terbang sekawan di hari petang
Kami ucapkan terima kasih
   Kepada tuan yang sudi datang

Bunga anggerik jual dipekan
    Tumbuhnya rendang di atas para
Silalah tuan para jemputan
    Sudi kiranya menjamu selera


Harum semerbak bunga rampai
    Sekuntum mawar sudah disunting
Duduk keliling tetamu yang ramai
    Melihat pengantin duduk bersanding

Ikan gelama tenggiri batang
    bersama dengan ikan cencaru
Ramai-ramai kita datang
    Hendak meraikan pengantin baru

Buah rambai tumbuh dihutan
    Dihujung ranting buahnya lebat
Mari beramai kita doakan
    Semoga majlis mendapat berkat

Untuk santapan para tetamu
   Lauk pauk nasi beriani
Sekali ini kita bertemu
   Sudilah menjamah hidangan kami

Sungguh harum bunga rampai
     Dibawa orang ke tengah balai
Sanak saudara sahabat handai
    Datang meraikan dua mempelai

Mawar merah di atas peti
   Bunga melur saya kalungkan
Tuan rumah berbesar hati
   Apa yang kurang mohon maafkan





Zurinah Hassan


No comments:

Post a Comment