Sunday, August 20, 2017

UNSUR ALAM DALAM PANTUN MELAYU



 UNSUR ALAM  SEBAGAI KIAS IBARAT DALAM PANTUN NASIHAT
Zurinah Hassan

Pantun adalah warisan bangsa Melayu yang dikagumi di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai karya sastera yang unik dan bermutu.  Hasil sastera Melayu memperlihatkan pengaruh dari alam. Hal ini lebih terkesan di dalam puisi  Di antara pelbagai cabang puisi Melayu moden dan tradisional,  pantun adalah puisi yang paling dekat dan paling akrab dengan alam. Makalah ini membicarakan penggunaan unsur alam dalam pantun, khasnya Pantun Nasihat dengan penerapan Teori Pengkaedahan Melayu.  Unsur alam digunakan di dalam baris-bris yang dikenali sebagai pembayang dan di dalam baris baris yang dikenali sebagai maksud. Alam yang dimaksudkan ialah alam fizikal atau alam inderawi yang dapat dilihat dengan mata, didengar dan dirasai. Ini termasuklah langit, bumi, awan, bulan, bintang, gunung, sungai, matahari, embun, pohon-pohon tumbuh tumbuhan dan pelbagai jenis haiwan.. Unsur-unsur ini  digunakan untuk membawa makna dan membina suasana di dalam pantun. Pantun-pantun yang dipilih adalah contoh-contoh pantun nasihat yang dianggap mempunyai nilai estetika iaitu kesatuan idea dan penyampaian yang jelas serta  pemikiran yang tinggi dan cemerlang . Pantun-pantun ini  memancarkan sikap dan pandangan semesta orang-orang Melayu khasnya di dalam menyampaikan nasihat, pendidikan dan pedoman dalam menghadapi cabaran  hidup.  Pantun-pantun yang dipetik telah disiarkan secara tulisan di dalam buku-buku atau kumpulan pantun. Ada di antaranya digunakan sebagai senikata di dalam lagu-lagu Melayu. Namun begitu sebagai khazanah sastera rakyat, pantun-pantun ini tidak diketahui pencipta asalnya.

Pantun adalah sebuah karya kreatif berbentuk puisi. Sebagai karya kreatif ia memiliki dua komponen penting iaitu pemikiran dan perasaan (emosi). Pemikiran merangkumi pandangan hidup, nasihat, pedoman, dan falsafah manakala Perasaan  atau Emosi  termasuk sedih, suka, bahagia, kagum, sayu, cinta, kasih, rindu dan sebagainya. Sebagaimana hasil sastera Melayu yang lain, Emosi dan Pemikiran itu tidak dicurahkan dengan berterus terang tetapi dengan menggunakan unsur-unsur perlambangan. Perlambangan yang terbesar ialah dari objek alam. Penggunaan unsur alam ini pula menambah keindahan atau estetika sesebuah pantun. Makalah ini menghuraikan bagaimana objek alam digunakan sebagai perantara untuk menyampaikan pemikiran dan sebagai elemen yang membina emosi di dalam pantun. Objek-objek alam fizikal ini digunakan di dalam pantun di dalam bentuk metafora,  personifikasi, simile dan hiperbola selaras dengan gaya bahasa sebuah penciptaan yang berbentuk puisi.  

Menurut Hashim Awang (1994:10-15) keindahan itu adalah berteraskan tauhid. Dalam hal ini beliau menegaskan bahawa penghasilan atau penulisan sastera juga merupakan suatu amalan yang turut dituntut. Pembentukannya (sastera) dalam acuan yang ada keteraturan dan keindahan, terutama keindahan yang memiliki nilai-nilai makna dan hikmah, seperti yang terdapat pada keindahan alam semesta ciptaan Allah.
Karya sastera diukur daripada isi dan penyampaiannya. Isi yang baik adalah isi yang membawa nilai yang baik dan positif yang dapat memberi teladan kepada orang Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam. Karya-karya ini mestilah selaras ciri-ciri dengan seni sastera yang dituntut oleh Islam. Menurut Mohd. Kamal Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam mendapatkan visi hidupnya dan visi keindahannya daripada Al-Quran yang amat nyata memperlihatkan pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan keindahan bahasa” (1981: 49).
UNSUR ALAM DALAM PUISI.
Penggunaan unsur alam sebagai perlambangan yang sesuai dengan makna yang disampaikan, akan menambah nilai estetika sesebuah puisi termasuk pantun. Zaaba memberi pendapatnya tentang perlambangan atau yang disebutnya sebagai bahasa kiasan (Zaaba, 1934:196):
”Bahasa kiasan menguatkan dan menambahkan tajamnya sesuatu karangan atau percakapan supaya menarik hati orang, jadi perhiasan mencantikkan bahasa, kerana bahasa kiasan itu banyak menggambarkan kecantikan alam dan perbandingan yang terlintas di dalamnya itu selalu cantik. Oleh sebab cantiknya itu kerap disebut akan dia bungaan bahasa.”                 

Mengikut Zaaba lagi, perlambangan atau teknik yang sengaja menyamarkan citra dan makna adalah salah satu teknik utama sastera Melayu, yang bukan sahaja digunakan dalam pantun tetapi juga dalam naratif lainnya. Pada pendapat Zaaba, ini ialah kerana “dalam pemikiran sastera, sekurang-kurangnya pantun, hikayat, dan beberapa bentuk berkaitan, sesuatu yang lebih temaram (maksudnya tidak begitu terang) itu lebih misterius, dan oleh itu lebih mencabar akal fikiran khalayaknya” (1934: 14).
Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya:

”Kita dapat menyimpulkan bahawa metafora, atau kias ibarat, adalah antara alatan terpenting sastera Melayu sejak awal lagi, melalui zaman tulisan, hinggalah ke zaman mutakhir. Oleh sebab orang Melayu lebih suka menyampaikan makna secara tidak langsung, maka ini menjadi amat penting, malah menjadi satu ciri dasar dalam estetikanya.” 

LAUT DALAM PANTUN NASIHAT
Seperti yang ditegaskan oleh Hashim Awang, Sastera Melayu sejak zaman berzaman adalah sastera yang membawa mesej ke arah kebajikan. Pengarang-pengarang Melayu telah memasukkan mesej yang baik dan positif di dalam karya-karya mereka. Pengajaran  nasihat dan pengajaran ini disampaikan dengan menggunakan perlambangan terutama dari unsur alam .  Salah satu yang paling dominan ialah laut.
Keluasan laut amat mempengaruhi kehidupan dan dengan itu mempengaruhi perasaan dan pemikiran manusia termasuk pencipta pantun. Simbolisme laut dalam pantun boleh dikesan daripada pantun-pantun yang menggunakan kata laut dan kata-kata yang bersangkutan dengan laut, iaitu samudera, segara, teluk, tanjung, ombak, gelombang, badai, batu karang, pantai, bahtera, perahu, pelabuhan, pangkalan dan sebagainya.
            Penggunaan laut sebagai misal perbandingan di dalam Al-Quran yang telah membentuk pemikiran pemikir-pemikir Islam  yang turut membandingkan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Antara lain dalam ucapan Syeikh Abdul Qadir Al Jailani di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H. yang berbunyi, “Wahai anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157).

Tradisi pemikiran ini menjadi  pembentuk kreativiti pujangga-pujangga Melayu termasuk pencipta-pencipta pantun yang menggunakan laut sebagai simbol di dalam karya-karya mereka. V.I.Braginsky telah mencatatkan bahawa laut dan perjalanan laut telah digunakan oleh pengarang-pengarang Melayu sejak berabad-abad lamanya di dalam syair-syair dan pantun. V.I.Braginsky mendapati bahawa terdapat sejumlah yang banyak syair-syair mistik Melayu yang menggunakan imej laut dan perahu yang belayar di laut. Pada pendapat Braginsky, keadaan ini terjadi kerana masyarakat Melayu tumbuh di pinggir-pinggir laut dan orang Melayu  merupakan pelaut yang cekap dan telah juga terkenal dengan pertukangan perahu dan kapal  (1994: 272).
Simbol laut dan dan perjalanan laut  telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17.  Hamzah  menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat.  Ini terdapat di dalam syair ’Perahu’.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
 (sumber: Harun Mat Piah, 1997:255)

Nasihat Menempuh Alam Dewasa:
Rumah kecil tiang seribu
                        Rumah besar tiang sebatang
            Kecil – kecil ditimang ibu
                         Sudah besar ditimang gelombang
                        (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 163)
Pantun ini sering diselitkan di dalam lagu2 rakyat atau nyanyian kanak-kanak. Melalui pantun ini orang2 tua menyediakan minda anak-anak  untuk menempuh alam kedewasaan. Bila meningkat dewasa anak-anak akan dilepaskan untuk pergi mencari penghidupan sendiri. Tibalah waktunya untuk berdikari kerana di dalam hidup ini tidak boleh selamanya berharap atau bergantung kepada ibubapa dan orang lain.
            Sejak kecil seseorang diingatkan bahawa kedewasaan  adalah umpama menyeberang lautan. Laut adalah cabaran yang mesti ditempuh oleh seorang yang telah dewasa seperti mana yang dinyatakan di dalam pantun tersebut “sudah besar ditimang gelombang”. Ungkapan “Ditimang gelombang” boleh dikategorikan sebagai personifikasi kerana gelombang sebagai objek alam yang tidak bernyawa boleh melakukan perbuatan manusia iaitu ‘menimang’ khasnya menimang anak. Anak yang pada masa kecilnya ditimang oleh ibu, berada dalam zon selesa kini harus merelakan dirinya ditimang oleh gelombang dengan erti kata lain mempersiapkan dirinya untuk  menempuh pelbagai cabaran hidup.
Laut menjadi perantara orang Melayu menyampaikan pemikiran dan nasihat tentang kehidupan di alam kedewasaan. Kedewasaan akan membawa bersamanya tanggungjawab dan pelbagai cabaran. Seorang yang telah dewasa perlu melakukan perjalanan melalui laut yang melambangkan perjalanan meninggalkan dunia kanak-kanak dan menuju ke dunia dewasa.  . Dari sini nasibnya  akan ditentukan oleh ombak dan gelombang
Pembayang pantun ini menggambarkan dua perkara berbeza, iaitu perbezaan di antara rumah kecil dan rumah besar manakala maksudnya ialah  masa kecil dan masa sudah membesar.  Rumah kecil mempunyai tiang seribu. Tiang adalah dokongan (support). Begitulah kehidupan seseorang di masa kecil yang sentiasa dijaga oleh ibu dan kaum keluarga. Pantun ini juga menyentuh peranan ibu di dalam mengasuh dan melakukan persediaan minda untuk anak-anak yang bakal meninggalkannya. Dengan mengatakan ‘kecil-kecil ditimang ibu” mengingatkan bahawa adalah tanggungjawab ibu untuk menimang atau memberi  kasih sayang dan tunjuk ajar secukupnya kepada si anak ketika dia masih kecil..
Nasihat Untuk Melengkapkan Diri
 Perjalanan laut adalah simbol yang sangat lumrah di dalam pantun. Tiga rangkap pantun nasihat di bawah juga menggunakan unsur laut.
            Kalau mengail di lubuk dangkal
       Dapat ikan penuh seraga
Kalau kail panjang sejengkal
      Jangan lautan hendak diduga
                    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 129)

Pohon beringin daunnya hijau
    Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
    Biduk ada pengayuh tidak.
                       (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 179)
Jika dilurut padi masak
          Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
          Jangan berumah di tepi pantai.
    (Zainal Abidin Abu Bakar, 1984: 146)

Ketiga-tiga rangkap pantun menyentuh perihal pentingnya melengkapkan diri dalam menjalani kehidupan.  Seseorang haruslah menyediakan minda dan jiwa untuk menghadapi pelbagai cabaran. Pantun pertama memberi peringatan bahawa ‘kalau kail panjang sejengkal/jangan lautan hendak diduga”.  Objek “kail panjang sejangkal” ditafsirkan sebagai penanda kepada sesuatu kekurangan. Di sini terkandung nasihat supaya mengukur keupayaan sendiri di dalam membuat sesuatu pekerjaan. Pantun ini juga mencabar seseorang untuk menggandakan usahanya untuk mencari kejayaan. Kata pantun “mengail dilubuk dangkal/ mendapat ikan penuh seraga” Ikan itu mungkin cukup untuk dimakan sekeluarga. Tetapi jika berani ke tengah lautan,  di sana menunggu hasil tangkapan yang lebih lumayan. Untuk ke tengah lautan tentulah memerlukan alat yang lebih canggih tidak hanya kail yang panjang sejengkal.

Dalam rangkap kedua
Pohon beringin daunnya hijau
       Pucuk petola diselak-selak
Hati ingin hendak ke pulau
      Biduk ada pengayuh tidak.

Oleh kerana hidup diumpamakan seperti satu pelayaran, maka perahu dan pendayung adalah peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk belayar menempuh hidup. Seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya, iaitu perahu dan dayung, akan berada di dalam kekurangan,  seperti yang digambarkan oleh baris pantun ”biduk ada pengayuh tidak”.
Setiap orang mempunyai cita-cita dan impian sendiri. Hal ini dibayangkan pada baris “hati ingin melihat pulau”.  Namun begitu sebarang hasrat hanya dapat dicapai dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan kelengkapan yang mencukupi. Kelengkapan ini termasuklah ilmu pengetahuan dan kemampuan fizikal dan mental.  “Biduk ” juga merupakan tanda yang penting di dalam pantun yang bertemakan perjalanan.
Biduk atau perahu yang dimiliki adalah penanda kepada  ikhtiar manusia untuk sampai ke pulau yang diumpamakan sebagai cita-cita. Sepertimana seseorang memerlukan biduk dan pengayuh maka begitulah juga persiapan yang diperlukan oleh minda dan jiwa di dalam menempuh kehidupan.  Perahu yang selamat sampai ke destinasi adalah simbol sebuah kehidupan yang berjaya di dunia dan di akhirat, sementara perahu yang tenggelam di lautan membawa makna tersirat sebuah kehidupan yang telah musnah. Orang-orang yang selamat sampai ke pulau merupakan orang-orang yang terpilih untuk menerima rahmat Allah.

Jika dilurut padi masak
     Jatuh ke tanah berderai-derai
Kalau takut dilambung ombak
    Jangan berumah di tepi pantai.

Pantun di atas mengingatkan setiap orang untuk mengukur keupayaan. Selaras dengan itu ialah peringatan agar manusia sentiasa menyelidiki kekurangan diri atau bermuraqabah, membuat perhitungan banyak sedikit amalan yang diusahakan, iaitu bermuhasabah.
          Hidup penuh cabaran dan jika tidak berani mengambil risiko janganlah menceburi bidang-bidang yang di luar kemampuan. Oleh  kerana hidup ini umpama menempuh gelombang di lautan, maka kita sering dinasihati agar memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan sebagai persediaan untuk menempuh segala kemungkinan. Seseorang yang tidak mempunyai cukup persediaan tidak akan dapat mengatasi cabaran yang diumpamakan sebagai ‘menduga lautan’. Orang yang tidak cukup persediaan diibaratkan sebagai pengail yang mempunyai kail panjang sejengkal atau pun takut dilambung ombak Selain dari kelengkapan fizikal, setiap orang mesti pula mempunyai persediaan mental. Orang yang tidak mempunyai keberanian dan keyakinan dianggap sebagai tidak bersedia untuk menempuh ombak dan gelombang. Mereka dianggap tidak layak untuk berada berhampiran dengan lalut lalu dinasihati (disindir) agar berada jauh dari pantai
Kapal atau perahu yang belayar di tengah lautan yang luas  adalah simbol perjalanan manusia yang amat bergantung kepada peliharaan Allah. Seorang pelayar mesti berhati-hati agar tidak berkubur di tengah lautan. Salah satu sebab kapal tenggelam di tengah lautan ialah muatan yang dibawa terlalu berat dan tidak seimbang dengan kemampuan kapal. Hal ini disampaikan melalui pantun:
Angin barat gelombang barat
      Barat ditiup si angin timur
Tidak dirintang muatan sarat
     Akibat laut tempat berkubur

Pantun ini menggambarkan satu keadaan dalam pelayaran. Dua baris pembayang berbunyi (Angin barat gelombang barat/ Barat ditiup si angin timur) menggunakan unsur alam bagi menimbulkan suasana kekacauan. Terdapat kata-kata ‘angin’, ‘gelombang, dan ‘ditiup’ yang menggambarkan pergerakan yang tidak stabil. Terdapat juga dua perkara yang bertentangan iaitu ‘angin barat’ dan ‘angin timur’.  Angin barat sedang bergelombang dan angin timur sedang meniup. Ini adalah keadaan alam yang menjadi penanda satu keadaan yang tidak tenteram.  
Untuk belayar seseorang memerlukan bekalan yang cukup. Namun begitu dia tidak boleh membawa muatan yang melebihi had yang mampu dimuat di dalam kapalnya. Oleh yang demikian manusia  perlu memilih barang-barang yang diperlukannya sahaja. Di sini timbul keperluan untuk mengukur kemampuan diri sebelum melakukan sebarang pekerjaan. Pantun ini juga memperkatakan perihal membuat pilihan dan menentukan prioritas di dalam kehidupan. Ia mengandung nasihat supaya menghadkan pilihan kepada perkara-perkara yang penting dan meninggalkan yang tidak penting.
Orang yang berjaya dan selamat adalah mereka yang bijak membuat pilihan. Maka pilihlah yang terbaik dan yang diperlukan sahaja untuk dibawa.  Terlalu banyak muatan yang tidak diperlukan akan menyebabkan perahu karam di lautan seperti maksud pantun jika ‘tidak dirintang muatan sarat/alamat laut tempat berkubur’. Pantun ini juga mengandung nasihat agar  berpada-pada atau bersederhana di dalam segala segi. Kalau mahu selamat mestilah  menjaga batas dan sempadan. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia mengandungi panduan untuk hidup dengan berimbang iaitu mengimbangi barang-barang yang dibawa dengan kemampuan had muatan kapal.  Ini menepati ajaran Al-Quran bahawa segala sesuatu dijadikan Allah adalah dengan ukuran dan imbangan.

Di sini terdapat nasihat peri pentingnya membuat pilihan yang tepat. Namun begitu sebagai insan yang lemah, manusia tidak tahu apa sebenarnya yang terbaik untuknya. Justeru itu manusia perlu selalu berdoa agar diberi pertolongan dan pertunjuk untuk membuat pilihan yang tepat selaras dengan maksud baris Surah Al-Fatihah yang dibaca di dalam solat “tunjukkanlah kami jalan yang benar”.
Di bawah ini diperturunkan beberapa rangkap pantun lagi yang menggunakan unsur laut sebagai perlambangan. Semuanya mengandungi nasihat dan pedoman untuk kebaikan masyarakat. Ini adalah selaras dengan Teori Pengkaedahan Melayu yang melihat sastera sebagai bahan untuk dijadikan pengajaran dan contoh teladan. Pantun-pantun yang menggunakan alam laut dan lautan perlu ditanggapi secara mendalam untuk menemukan makna atau pengertiannya melalui penafsiran lambang-lambang atau alamat tertentu yang wujud di dalamnya. Hal ini adalah bertetapan dengan apa yang dijelaskan dalam Pendekatan Firasat bahawa sastera adalah kejadian alam yang mempunyai makna atau pengertian yang penemuannya itu hanya dapat dilakukan menerusi proses takbir atau tafsiran.
Buah kurma berlambak-lambak
      Dimakan orang pagi petang
Bagai kerja menolak ombak
       Semakin ditolak semakin datang.

Pantun di atas mengajak manusia mengambil pengajaran dari laut yang terbentang luas dan ombak yang tetap memukul ke pantai. Ini adalah kejadian alam yang  memberi kesedaran dan pelbagai pengertian tentang kehidupan. Ombak tetap memukul pantai dan manusia tidak akan berdaya menolaknya. Hal ini digunakan untuk menyatakan kemampuan manusia yang terhad dan terbatas. Tiada siapa dapat mengatasi kekuatan alam yang mengandungi makna tersirat iaitu  kekuasaan Ilahi. Melawan kekuatan ombak adalah pekerjaan yang sia-sia. Manusia dinasihati supaya menjauhkan diri dari pekerjaan yang sia-sia seperti kata pantun ini ‘bagai kerja menolak ombak”.
Laut juga digunakan didalam menyuarakan falsafah kepimpinan. Seorang pemimpin, samada seorang ketua negara, seorang ketua kampung, atau ketua keluarga di anggap sebagai seorang nakhoda yang harus bijak melayari bahteranya. Ini terdapat di dalam pantun yang dijadikan senikata lagu Lancang Kuning.
Lancang kuning belayar malam
       Haluan menuju ke laut dalam
Kalau nakhoda kurang faham
        Alamat kapal akan tenggelam

Sehubungan dengan itu orang tua juga memberi nasihat bahawa sebuah kapal tidak boleh dikendalikan oleh dua orang nakhoda. Ini bermaksud bahawa para pemimpin tidak boleh bercanggah pendapat atau mengeluarkan arahan-arahan yang berbeza.. Dari perspektif Teori Pengkaedahan Melayu ia memberi penekanan kepada kepentingan mencari keharmonian dengan alam dan keharmonian hubungan dengan manusia lain.:
Duduk berbual di remang senja
     Angin taufan bertiup kencang
Kalau kapal dua nakhoda
     Alamat karam dipukul gelombang

Seorang yang bijaksana amat dihargai dan diperlukan oleh masyarakatnya. Misalnya seorang yang bijaksana akan menyelamatkan bangsa atau sesebuah masyarakat lebih-lebih lagi ketika dilanda masalah dan kekalutan. Kebijaksanaan pemimpin disamakan dengan kebijaksanaan seorang mualimyang faham akan selok belok pelayaran dan dapat melayarkan bahteranya dengan selamat di lautan yang bergelora. Pantun ini member nasihat agar mencari orang bijaksana dan mendengar nasihat yang berguna dari orang yang berpengalaman.. Pandangan ini telah diungkap didalam pantun di bawah
Baik baik belayar malam
     Arusnya deras karangnya tajam
Cari cari mualim yang faham
    Di situ banyak kapal tenggelam

Terdapat juga nasihat kepada guru supaya bersabar dalam mengajar dan mendidik kerana pekerjaan itu bukanlah mudah. Cubaan dan dugaan akan terus dihadapi seperti ombak yang tidak berhenti-henti menghempas ke pantai.

Orang haji dari Jeddah
     Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
     Bagai kerja menolak ombak. 

1 comment:

  1. nice la bang....boleh bagi banyak lagi tak...saya form 2 perlukan banyak carian di web abang ni...so saya boleh cari more

    ReplyDelete