JEJAK PERJUANGAN WANITA ISLAM
Sejak lahirnya junjungan pembawa kebenaran.
Membebaskan wanita dari cemeti kekejaman.
Lalu terbina sejarah terukir nama-nama indah
menjadi teraju utama penegak bangsa dan agama
Di hati kita tetap tersemat nama yang mulia
Kadijah binti Khuwalid, isteri sejati peneguh hati dan penawar jiwa
Insan pertama yang mengakui kerasulan baginda
Wanita mulia yang mengorbankan harta benda
Demi kekuatan Islam dari awal mula,
Setelah sempurna peranan Khadijah di Mekah
Dan Rasul berhijrah meneruskan perjuangan di Madinah
Baginda didampingi Aisyah yang cergas dan cerdas,
bijaksana mengatur hujjah jelas dalam bahas yang tegas.
Dari tanah kelahiran nabi, Islam melebar jauh
membawa cahaya dan rahmat menerangi umat
Dari Timur Tengah hingga ke Nusantara
Lahirlah wanita beriman yang berbakti sepanjang zaman,
Muncul wanita berjasa seperti mawar yang segar,
Seperti air yang menjadi penawar
Dari tangan ibu yang sabar, bangsa pun membesar .
1
Muncullah tokoh-tokoh wanita tempatan
Ibu Zain pendidik terawal anak watan
Azah Aziz, yang memelihara seni khazanah warisan
Nik Safiah yang menyusun bahasa sebagai jambatan penyatuan.
Dr. Fauziah yang membawa misi kemanusiaan.
Bumi Nusantara yang pernah tercedera
Telah dibentengi wanita-wanita perkasa
Kuemalahayati laksamana pertama dan ternama
Srikandi Cut Nyak Dhien pemimpin gerilya
Teungku Fakinah Fathillah seorang ulama
Membayar harga maruah dengan darah dan nyawa.
Kartini yang Nasionalis dan Reformis, memartabatkan kaum sejenis.
Di samping yang terkorban mengangkat senjata.
Jangan kau lupa mereka yang berjuang dengan kata dan tinta
Baca dan hayatilah kisah yang tersurat dan tersirat.
Kenali tokoh-tokoh dari Timur dan Barat,
Asma’ membantu Rasul dan ayah melakukan hijrah yang payah
Tidakkah bangga di hati menyebut Fatimah al-Fihri
Wanita yang pertama membina Universiti.
Tangan yang melahirkan ilmuan membesarkan cendekiawan
Pada zaman kini dengan cabaran tiada henti
Dan fitnah di kanan kiri
Kembalilah mengenang mereka yang berani
Hayatilah langkah dan perjuangan penuh erti
selamanya menjadi inspirasi menyemai yakin diri.
Setiap kisah kejujuran menjadi cermin dan panduan
Dalam membina tugu kejayaan.
Bacalah setiap jejak perjuangan
Kisah yang terakam memberi iktibar dan ilham
Biar dunia semakin faham nilai kekuatan wanita Islam.
1
Sasterawan Negara Zurinah Hassan.



















