Saturday, October 21, 2017

MENGENAL SASTERA TRADISI

Sastera Melayu Tradisional
Puisi Melayu Tradisional atau Puisi Warisan  adalah satu cabang daripada Sastera Melayu Tradisional.  Cabang Sastera Melayu Tradisional yang lain ialah:
  • Sastera Istana
Sastera Istana adalah sastera yang bertulis dan terbahagi kepada tiga jenis iaitu:
1-Sastera Sejarah misalnya Sejarah Melayu,
2- Sastera Undang-undang misalnya Undang-undang Melaka.
3- Sastera Kitab misalnya hikayat-hikayat yang mengandungi kisah disekitar kehidupan nabi-nabi seperti Hikayat Nur Muhammad

  • Sastera Rakyat
Sastera rakyat tersebar di kalangan rakyat jelata melalui tradisi lisan. Bahagian ini terdiri daripada
  1. Mitos: cerita-cerita yang dianggap mulia berkenaan pembukaan sesebuah negara misalnya mitos pembukaan Melaka
  2. Legenda:  sesuatu cerita yang dianggap penting dan terkenal di sesuatu masyarakat. Ia mengisahkan seseorang pahlawan atau tokoh yang dipercayai hidup pada zaman dahulu.seperti Hang Tuah dan Mahsuri
  3. Cerita Asal Usul seperti asal usul,nama sebuah negeri-atau nama tempat.
  4. Cerita Penglipur Lara seperti hikayat Malim Deman
  5. Puisi Warisan
Jenis-jenis Puisi Warisan
Antara puisi warisan atau puisi tradisional ialah pantun, syair, gurindam,seloka,teka-teki, nazam, bayt, kit’ah, masnawi dan ghazal, talibun, bahasa berirama, teromba, peribahasa berangkap, mantera dan dikir. Puisi-puisi ini mempunyai  struktur dan fungsi yang tertentu di dalam kehidupan masyarakat.
Tidak semua puisi tradisional masih popular dan dikenali pada hari ini. Secara kasar ada beberapa jenis puisi warisan yang masih bernafas iaitu:
  • pantun
  • syair
  • nazam
  • gurindam
  • seloka
  • teromba

Pantun
Ciri utama Pantun ialah ia terdiri daripada pembayang dan maksud dengan skima rima a b a  b. Ciri ini menyebabkan pantun mudah dikenali dan berbeza daripada jenis-jenis puisi tradisional yang lain. Pantun, terutama pantun empat kerat masih popular hingga ke hari ini Kita mendengar pantun setiap hari terutama melalui lirik lagu. Lagu Melayu Asli  Seri Mersing, Patah Hati, Gunung Banang, Tudung Saji, Bunga Tanjung  mempunyai pantun yang indah sebagai senikatanya

Syair                                                                                                                          
Kata Syair berasal daripada Bahasa Arab. Tetapi para pengkaji berpandangan bahawa dari segi struktur, syair Melayu mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.  Syair adalah genre yang sangat popular pada masa dahulu.  Pada zaman yang lebih awal, syair tersebar melalui tradisi lisan. Syair mula dicetak pada akhir kurun ke 19. Ada sekitar 300 judul syair yang telah dicetak termasuk Syair Dandan Setia, Syair Bidasari, Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Juragan Budiman, Syair Ken Tambuhan, Syair Siti Zubaidah Perang Cina.
Nazam
Nazam juga berasal daripada kesusasteraan Arab. Ianya terdiri dua baris dalam setiap rangkap dengan skima rima a-a, a-a; a-b,a-b; atau a-a,b-b. Nazam mengandungi cerita atau pengajaran agama. Hamka mengatakan nazam tidak jauh berbeza dengan syair dari segi strukturnya tetapi ia lebih banyak membawa tema keagamaan.
Lagu nazam berbeza daripada lagu syair .  Lagu nazam mempunyai tempo dan boleh diiringi dengan muzik percussion atau ketukan gendang dan rebana. Pada masa ini terdapat kumpulan-kumpulan rebana yang bergerak di kampung-kampung. Sesetengah mereka menyanyikan lagu nazam. Nazam boleh dinyanyikan secara beramai sedangkan syair disampaikan secara solo dan memerlukan vokal yang baik.
Contoh Nazam yang terkenal ialah Nazam Siti Fatimah.  Nazam ini sering dibaca atau dinyanyikan oleh ibu-ibu semasa mendodoi anak untuk memberi nasihat dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi dan ajaran yang dibawanya.
Gurindam
Pengkaji sastera tradisional berpendapat bahawa gurindam tidak mempunyai bentuk atau skima rima yang tertentu atau tetap. Ia tidak mudah dikenalpasti seperti pantun atau syair. Walaupun gurindam tidak tertentu atau tidak tetap bentuknya tetapi dari segi bahasa dan isi terdapat ciri-ciri khusus. Bahasa gurindam biasanya padat dan bernas. Isinya lebih menekankan nasihat, moral, pengajaran atau kebenaran. Hal ini dipersetujui oleh Sutan Takdir Alisjahbana dalam bukunya, Puisi Lama (1971). Beliau menulis: “Gurindam ialah nasihat, pengajaran yang mengandungi kebenaran”.
Gurindam dapat dilihat terbahagi kepada dua jenis, iaitu ada yang terikat dan ada yang tidak terikat atau bebas. Gurindam berbentuk terikat terdiri daripada dua baris dan berima aa. Kedudukan atau peranan  baris 1 itu sebagai isyarat dan baris 2 sebagai jawab. Ini dapat diteliti dari gurindam yang ditulis oleh Raja Ali Haji. Gurindam Dua belas. Yang mudah dilagukan ialah gurindam dua baris terikat yang mempunyai rima dan sukukata yang hampir tetap dalam sebaris.

Seloka
Zaaba dalam Pelita Bahasa Melayu (1957) menulis, ”Gurindam dengan seloka itu boleh dikatakan lebih kurang sama sahaja pada fahaman orang Melayu, iaitu sejenis syair melarat yang tidak tentu skima rimanya. Perbezaan antara gurindam dan seloka dapat dilihat pada isinya. Isi gurindam berunsur nasihat dan falsafah sementara seloka mengemukakan gurauan, ejekan termasuk kritik sosial dalam sindiran yang tajam
Contoh Seloka yang terkenal ialah Seloka Emak Si Rendang dan  Seloka Pak Kaduk yang penuh sindiran  tajam dan sehingga hari ini digunakan untuk kiasan terhadap nasib bangsa yang menumpang di rumah sendiri.
Teromba
Teromba ialah sejenis bahasa berirama yang isinya memuatkan hal hal yg berhubung dengan  undang-undang  adat istiadat yg diamalkan oleh sesuatu kelompak masyarakat . Puisi ini berbentuk bebas dan tidak  tentu jumlah baris, ugkapan,  rima dan jumlah sukukata dalam satu baris.
Di dalam Teromba terdapat sisipan berbagai puisi  yg  lain seperti pantun, gurindam dan peribahasa. Isinya terpakai hingga hari  ini  dalam  adat pepatih sebagai peraturan yg telah menjadi pedoman masyarakat.  Teromba juga dikenali sebagai Perbilangan Adat Pepatih.
PUISI MELAYU WARISAN PADA MASA INI
Pada masa ini puisi Melayu tradisional atau puisi warisan seperti pantun, syair, gurindam dan nazam masih dikarang dan dihasilkan oleh segolongan  penulis-penulis kontemporari. Di antara mereka ialah, Ahmad Sarju,  A Halim ‘R’  Khadijah Hashim, Hamdan Yahaya, Rahman Shaari, Azimin Daud , Siti Zaleha M.Hashim. Media tempatan,  iaitu majalah Dewan Sastera membuka ruang khas, “Ujana Klasik”  bagi menampung karya-karya yang sedemikian.




No comments:

Post a Comment