Saturday, October 21, 2017

MENULIS PUISI

MENGENAL PUISI

Puisi adalah satu cabang daripada kesusasteraan. Dari segi istilahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya.". Pada umumnya perkataan kesusasteraan digunakan untuk merujuk kepada  segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak. Melalui kesusasteraan, manusia menyampaikan buah fikiran dan meluahkan perasaan dengan menggunakan  bahasa. Keindahan bahasa dan ketinggian buah fikiran mencerminkan ketinggian budaya sesuatu masyarakat.

Sastera atau hasil kesusasteraan wujud dalam masyarakat melalui bentuk tulisan dan juga  dalam bentuk lisan.
Sastera Tulisan: Hasil kesusasteraan yang didapati dalam bentuk bertulis misalnya novel. cerpen atau puisi yang dibukukan atau yang diterbitkan di akhbar dan majalah.
Sastera Lisan: Kesusasteraan atau sastera lisan adalah sastera yang   disampaikan dan disebarkan melalui  pertuturan. Pada masa dahulu sebelum adanya percetakan orang ramai akan berkumpul, biasanya pada waktu malam untuk mendengar cerita dari seorang tukang cerita (yang dipanggil penglipur lara), atau mendengar syair yang dibawakan oleh pembaca syair.  Pada zaman ini kesusasteraan lisan atau tradisi lisan masih wujud. Misalnya pantun masih dibaca di dalam majlis-majlis dan  dinyanyikan di dalam lagu-lagu rakyat , lagu-lagu kanak-kanak, malah di dalam lagu-lagu popular.
Hasil kesusasteraan  terbahagi kepada dua bahagian iaitu
  1. Prosa
  2. Puisi

Perbezaan Puisi dan Prosa:
Perbezaan paling ketara dan mudah dikenali ialah Prosa ditulis berbaris-baris mengikut paragraph atau perenggan manakala Puisi ditulis berangkap-rangkap. Biasanya Prosa mengandungi sesuatu kisah atau cerita manakala  Puisi tidak semestinya ada cerita. Ia lebih kepada menyatakan  pemikiran dan perasaan tentang sesuatu aspek kehidupan.
Prosa merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dalam ayat-ayat yang menggunakan tatabahasa yang lazim digunapakai. Pada umumnya, prosa dianggap  satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen dan novel.
Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan tidak menuruti tatabahasa. Ia sebenarnya tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk rangkap. Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca pembaca akan merasa rentaknya. Contoh bagi kesusasteraan puisi termasuklah Syair, Pantun, Gurindam, Seloka, Mentera, Teromba,  dan puisi moden yang lebih dikenali sebagai Sajak.
Mengikut Zaaba, puisi ialah  karangan berangkap yang dipakai untuk melafazkan  fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah. Dengan gambaran yang cantik, perkara yang disampaikan menjadi bertambah menarik kepada orang yang mendengarnya
Zaaba seterusnya menjelaskan bahawa puisi ialah karangan berangkap  yang disusun dengan bahagian yang berkerat-kerat dan di antara sekerat dengan sekerat itu biasanya berjodoh dan bunyinya atau rentaknya atau isinya serta kebanyakannya memakai timbangan dan sukatan yang tertentu, Oleh yang demikian, puisi merangkumi aspek susunan kata, rentak bunyi dan isi.
Muhammad Haji Salleh mengatakan bahawa puisi adalah ciptaan yang indah dari aspek bentuk dan isi. Ia adalah bentuk  sastera yang kental dengan muzik bahasa serta kebijaksanaan penyair dan tradisinya. Bagi Muhammad, puisi akan menjadikan pembaca lebih bijaksana.
 Di bawah ini adalah beberapa definisi atau keterangan mengenai puisi yang sering menjadi rujukan:
  1. “The best words in their best order (Perkataan terbaik dalam susunan terbaik)”. -Samuel Taylor Coleridge
  2. "Puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif", -William Wordsworth.

  3. "Puisi adalah satu persembahan dalam bentuk perkataan"-. Robert Frost:
  4. "Puisi adalah kritikan terhadap kehidupan di bawah peraturan yang teguh, iaitu kebenaran puitis dan keindahan puitis".- Mathew Arnold
  5. “Puisi membawa makna sebanyak mungkin dalam kata-kata  sedikit mungkin” Ralph Waldo Emerson.
Ciri-ciri Puisi:
i) Menggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental, mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman dan perasaan
ii) Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar, sama ada berbentuk konvensional/berpola (bagi puisi tradisional ) atau berbentuk bebas
iii) Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, intonasi, rentak, irama dan keharmonian bunyi.
iv) Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu (bagi kebanyakan puisi tradisional yang dipengaruhi jumlah baris, jumlah perkataan, perseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.
v) Bagi puisi tradisional wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris, serangkap atau beberapa baris seuntai.
vi) Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat untuk hiburan, keramaian, ritual, keagamaan, pengajaran dan sebagainya. Berfungsi sebagai pancaran pemikiran masyarakat zamannya sama ada zaman tradisional mahupun zaman kini.

vii) Bahasa yang padat dan kental mengandungi unsur perlambangan, imajan, kiasan dan perbandingan untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan hati

No comments:

Post a Comment